Tuesday, September 29, 2009

IKHLASKAH KITA ???

Satu persoalan yang ingin ditimbulkan, ikhlaskah kita dalam beramal dan berbakti ? Pernah ditanya kepada seorang yang soleh, “Apakah yang lebih berat dari jiwa ?” Ia menjawab, “Keikhlasan kerana jiwa tidak memiliki bahagian di dalamnya.


Firman Allah S.W.T :


“Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan.”

Surah Al Furqan :23

Diceritakan pada suatu hari, seorang sahabat bertanya kepada Nabi, apa itu ikhlas ? Kemudian Nabi pun diam sambil berfikir buat seketika. Kemudian Nabi pun bertanya kepada Jibril. Bila ditanya Jibril, “Apa itu ikhlas ?” Beliau pun tidak mampu menjawab. Kemudian Jibril terus tanya kepada Allah. Allah menjawab pertanyaan tersebut. Ikhlas itu adalah rahsia dari rahsia-rahsiaKu. Ia adalah antara Aku dengan hambaKu yang tidak Aku ciptakan kecuali kepada hambaKu yang aku cintai.


Keikhlasan mampu membersihkan hati dan mengarahkan kepada Kekasihnya.


Sabda Nabi :

“Ada tiga perkara yang kerananya dalam hati muslim tidak ada kedengkian. Ikhlas beramal kerana Allah, menasihati para pemimpin dan sentiasa berada dalam jemaah kaum muslimin kerana sesungguhnya dakwah mereka itu meliputi mereka.”


Antara gambaran keikhlasan yang tidak murni oleh Imam Al Ghazali ialah :

  • Belajar ilmu supaya mudah mencari wang dan menjadi mulia di tengah keluarga
  • Sibuk mengajar dan berceramah supaya terbebas dari kesempitan akibat diam terus menerus dan memperoleh kelapangan melalui nikmat bercakap


Kembali kepada realiti kehidupan. Dalam hidup berpersatuan adakalanya kita merasa tertekan melakukan sesuatu amanah yang dipertanggungjawabk an. Mempersoalkan mengapa perlu melakukan sesuatu sedangkan ia merupakan satu kewajipan. Kembali kepada nawaitu utama kita. Hisab diri. Adakah kita melakukan sesuatu lantaran arahan atau lillahi Taala. Sekiranya ia dibuat kerana Allah hati akan merasa tenang dan tidak mengendahkan apa jua orang lain akan cakap. Contoh paling mudah yang boleh dilihat dalam kehidupan seharian. Apabila kita membantu sahabat dan dia tidak mengucapkan terima kasih. Pasti terdetik di hati begini, “tak ucap terima kasih pun, lain kali tak perlu tolong lagi.” Jelas menunjukkan bantuan yang dihulurkan tidak ikhlas. Berkongsi satu cerita yang diperolehi dalam satu majlis ilmu. Sebelum masuk ke dalam kelas, seorang guru akan berhenti di muka pintu dengan niat ilmu yang diturunkan kepada pelajarnya adalah kerana Allah. Kesannya, pelajar mereka tidak lupa apa yang diajarkan oleh gurunya lantaran niat yang ikhlas. Sekalipun telah lama meninggalkan alam persekolahan.


Begitulah jua dalam menunaikan solat fardhu. Adakah kita mengerjakan solat disebabkan kewajipan sebagai seorang muslim atau kerana perasaan rindu yang mendalam akan Kekasih sejati? Anologinya cukup mudah. Seorang pelajar pergi ke kuliah kerana menunaikan kewajipan sebagai seorang pelajar dan bagi memenuhi kehadiran untuk membolehkannya masuk ke dewan peperiksaan. Pelajar ini sekadar masuk dan mendengar kuliah sahaja. Berbeza jika seorang pelajar pergi ke kuliah dengan niat untuk menimba ilmu yang telah Allah kurniakan untuk pengajaran umatnya. Pelajar ini akan memberikan sepenuh perhatian dalam sesi kuliah tersebut. Begitulah juga dalam mengerjakan solat. Seandainya ia dilakukan kerana rindu padaNya pasti setiap tutur bacaan dalam solat akan direnungi maksudnya dan lebih khusyuk.


Apabila berbicara soal ikhlas ini juga, sebenarnya ia dapat mengelak dari perasaan hasad dengki. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya pada nikmat Allah itu terdapat musuh-musuh. Baginda ditanya : “Siapakah musuh-musuh itu ya Rasulullah? Baginda menjawab, “mereka ialah orang yang berhasad dengki terhadap orang lain atas anugerah yang diberikan Allah.” Perasaan ini lahir disebabkan rasa diri berada pada kedudukan tinggi dan mulia berbanding orang lain. Golongan ini juga akan merasa tercabar apabila orang lain memiliki kelebihan yang tiada pada dirinya. Pada ketika inilah, ilmu dan takwa memainkan peranannya sebagai senjata sebenar yang dapat melawan perasaan yang memusnahkan kehidupan. Berbekalkan ilmu yang dimilikilah dapat memberi amaran akibat yang akan diterima dan mendorong manusia untuk berusaha mencapai darjah ketakwaan. Mengambil kisah pembunuhan Habil oleh Qabil lantaran perasaan dengki dan mengikut hawa nafsu yang melulu. Akhirnya Allah memusnahkan keturunannya di zajman Nabi Nuh. Sedarilah bahawa berhala diri itu lebih hebat penangannya. Berhala diri yang dimaksudkan adalah hawa nafsu.


Penutup bicara, perjuangan bukan mengukur kekuatan. Bukan juga pentas mempamer kebijaksanaan. Perjuangan adalah gambaran keikhlasan hati dalam menyebar risalah Nabi mengembang Islam di muka bumi. Usah risau apa yang diberi ikhlas dari hati akan mereka rasai. Insafi diri. Renungi bersama mengapa kita di sini dan mengapa kita perlu lakukan semua ini. Inilah jalan yang telah kita pilih. Sesungguhnya hidup ini adalah pilihan. Terpulang pada diri untuk memilih jalan yang berliku dan penuh dengan onak duri atau sebaliknya. Masa yang ada sedetik cuma. Sebelum nafas terhenti, muhasabah diri. Moga kita tergolong dalam golongan yang diredhai.


0 comments:

Post a Comment