Friday, November 20, 2009

Rezeki bertambah jika mensyukurinya...


Allah berfirman bermaksud: "Dan tiadalah sesuatu pun daripada makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jugalah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat dia disimpan. Semuanya itu disebut dalam kitab (Luh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan)."

(Surah Hud, ayat 6)


Sesungguhnya nikmat Allah kepada manusia tidak terbilang dan tidak akan mampu untuk dihitung seperti firman-Nya bermaksud:
"Dan jika menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak mampu menentukan jumlahnya..."

(Surah an-Nahl, ayat 18)

Memang tidak dinafikan bahawa ketika manusia ditimpa bencana atau musibah, kita menanggung bebanan yang lebih berat. Sebab itu manusia ketika dalam kesusahan, biasanya mudah ingat kepada Allah, tetapi mudah lupa dan tidak bersyukur ketika memperoleh nikmat. Allah berfirman bermaksud: "...Dan sedikit (sekali) hamba-hamba-Ku yang bersyukur."(Surah Saba', ayat 13)

Menurut
Imam al-Ghazali, bersyukur itu mendatangkan dua faedah. Pertama mengekalkan nikmat. Dengan bersyukur, bermakna kita mengikat nikmat itu daripada hilang dan menjauhkan diri daripada seksaan Allah. Ini sebagaimana firman-Nya bermaksud: "Mengapa Allah akan menyeksamu, jika kamu bersyukur dan beriman?"

(Surah an-Nisa, ayat 147)

Faedah kedua adalah
menambahkan nikmat seperti mana Allah berfirman bermaksud: "...Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah berat."

(Surah Ibrahim, ayat 7)

Ali bin Abi Thalib berkata: "Apabila tanda-tanda kenikmatan sampai kepadamu, maka janganlah anda menghilangkannya (mengusir) nikmat yang akan datang dengan sedikit rasa syukur."

Nikmat Allah yang dikurniakan kepada manusia, khususnya Muslim boleh dibahagikan kepada dua iaitu:

1 Nikmat untuk kelangsungan hidup di dunia seperti makan minum, kekayaan, keamanan, kesihatan, umur, pandangan dan nikmat berkasih sayang.

1 Nikmat yang paling mahal dan tinggi nilainya iaitu nikmat iman dan Islam, kerana ia bukan setakat untuk di dunia tetapi berterusan sampai ke akhirat. Nikmat inilah yang perlu dipertahankan sampai ke akhir hayat kita.

Imam Al-Junaid berkata: "Syukur itu ialah seseorang yang tidak menggunakan nikmat Allah untuk melakukan maksiat kepada-Nya.” Maksudnya, tanda seseorang bersyukur ialah menggunakan nikmat yang diterima untuk berbuat taat kepada Allah dan memanfaatkannya ke arah kebaikan, bukannya menyalurkan ke kancah maksiat atau kejahatan.

Ulama Ahsin bin Atha'ullah pula membahagikan (cara) syukur itu kepada tiga, iaitu:-

1 Syukur dengan lidah, iaitu menyebut nikmat kurniaan Allah seperti firman-Nya bermaksud: "Dan nikmat Tuhanmu hendaklah engkau menyebutkannya sebagai menzahirkan kesyukuran."(Surah Dhuha, ayat 11)

1 Syukur dengan anggota badan iaitu dengan melaksanakan ketaatan kepada Allah dengan menggunakan anggota badan ke atas perkara yang diredai Allah.

1 Syukur dengan hati, iaitu mengiktiraf bahawa Allah sahajalah pemberi nikmat, di mana segala nikmat atau rezeki yang diperoleh oleh manusia datangnya daripada Allah.



0 comments:

Post a Comment