Monday, December 7, 2009

Tokoh Dalam Kenangan : Berkenalan Dengan Tokoh Ulama'.Syeik Mohamad Idris Al-Marbawi


Pengenalan


Semenjak kedatangan Islam ke Tanah Melayu pada sekitar abad yang ke 15 dengan terbinanya Kerajaan Melayu Melaka pada tahun 1402 Hijrah, dunia Tanah Melayu sentiasa disirami embun hidayah daripada Allah S.W.T. Lantaran daripada itu, rantau ini menyaksikan kelahiran beberapa orang tokoh ulama' besar yang unggul dan telah memperlihatkan kewibawaan mereka dalam menyebar dan menyemarakkan syiar Islam di bumi bertuah ini.

Dalam ruangan tokoh ulama' majalah At Taqwa kali ini, penulis akan cuba mengutarakan anak melayu yang amat terkenal dalam sumbangan ilmiahnya iaitu Syeikh Idris Al- Marbawi.


Kelahiran dan Pendidikan


Tokoh ulama besar ini dilahirkan pada 28 Zulkaedah tahun 1313 Hijrah bersamaan 10 Mei 1896 Masihi di kota suci Mekah semasa ayahanda dan bondanya menunaikan fardhu haji dan menuntut ilmu disana. Beliau kemudiannya diberi nama Mohamad Idris bin Abdul Rauf sempena nama imam Al-Shafie. Perkataan Al-Marbawi di hujung namanya adalah merujuk kepada kampung asal keluarganya iaitu di Lubuk Merbau, Kuala Kangsar.


Beliau mendapat pendidikan awal di Mekah, dalam usia 10 tahun beliau telah pun menghafaz 16 juzuk Al-Quran serta menghafaz kitab Da'wam dan Matan Ajruniah (matan asas ilmu nahu)


Pada tahun 1913, tokoh ini kembali ke kampung asalnya di Lubuk Merbau, Kuala Kangsar bersama-sama keluarganya. Beliau kemudiannya memasuki Sekolah Melayu Lubuk Merbau. Seterusnya belajar pula di Pondok Syeikh Wan Muhammad Wan Husin Al- Marbuli Al-Kelantani di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Selepas beberapa tahun di pondok tersebut, beliau menyambung pelajaran di Pondok Tuan Hussin di Pokok Sena, Kedah. Kemudian menyambung pula di Pondok Syeikh Ahmad Fatani di Padang Lalang Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Selepas beberapa tahun di Pulau Pinang, beliau menyambung pelajaran di Negeri Kelantan dibawah pimpinan ulama' besar Tok Kenali. Di sini beliau menumpukan perhatian kepada ilmu-ilmu nahu dan tatabahasa arab.


Setelah tamat pengajian pada sekitar tahun 1923, beliau menerima tawaran sebagai guru agama bertauliah dari Kerajaan Negeri Perak. Tidak lama berkhidmat sebagai guru, beliau kemudiannya menyambung pelajaran di Universiti Al-Azhar Mesir. Di universiti Al-Azhar beliau memperolehi ijazah dalam bidang syariah. Di samping belajar secara formal, beliau juga rajin belajar dan mencari guru di luar bilik kuliah secara halaqah dari satu kitab ke satu kitab.


Karya Penulisan


Beliau mula menghasilkan karya sulungnya pada tahun 1372 Hijrah bersamaan 1952 Masihi, apabila kamus Idris Al-Marbawi yang mula ditulis pada bulan April 1949 semasa bermastautin di Kaherah, Mesir diterbitkan.


Sehingga tahun 2001, kamus tersebut telah diulang cetak sebanyak 25 kali yang disifatkan oleh para sarjana sebagai karya yang teragung beliau.Pada tahun 1990, kamus ini telah diberi nafas baru iaitu keluarnya edisi baru dengan beberapa pembetulan, pembaharuan kata dan ejaan baru.


Selain kamus tersebut, terdapat satu lagi hasil karya besar beliau iaitu Kitab Bahrul Mazi. Kitab ini merupakan kitab hadis yang terbesar dalam bahasa Melayu yang mengandungi 2775 hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Termizi. Kitab yang berhalaman 5500 muka surat ini membicarakan sebanyak 8200 masalah agama dalam 22 jilid dengan menjurus kepada huraian feqah Mazhab Syafie. Kitab ini menjadi panduan kuliah Maghrib di setengah-setengah Masjid di Negeri Selangor.


Selain daripada itu, beliau juga menghasilkan beberapa kitab tafsir Al-Quran dan lain-lain karya penulisan dalam bahasa Melayu :


1. Tafsir Al-Quran Marbawi
2. Tafsir Al-Quran Nurul Yakin
3. Tafsir Surah Yaasin
4. Tafsir Fath Al-Qadir
5. Bulughul Maram ( Kitab hadis huraian hukum feqah )
6. Idaman Guru ( Huraian hadis sahih Bukhari dan Muslim )
7. Usul Islam
8. Nizam Al-Hayat
9. Pati Hukum Ibadah


Anugerah dan Penghormatan


Sebagai ulama' dan tokoh pengarang, beliau telah dipilih menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada 5 Julai 1980. Di samping itu, beliau juga menerima tokoh Maal Hijrah Kebangsaan yang pertama pada 1 Muharam 1408 Hijrah bersamaan 26 Ogos 1987. Malah Sekolah Melayu Lubuk Merbau / Sekolah Kebangsaan Lubuk Merbau telah ditukar nama kepada Sekolah Kebangsaan Mohamad Idris Al-Marbawi mengambil nama sempena nama beliau.



0 comments:

Post a Comment